BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, February 24, 2010


SETELAH hampir dua bulan meninggalkan gelanggang pertandingan, kini 10 bintang Idola Kecil 2 disatukan kembali.

Bezanya kali ini bukan di landasan nyanyian, tetapi lakonan dalam siri seram, Idola Kecil Misteri Rumah Tua yang bakal bersiaran pada cuti sekolah akan datang, iaitu pada 15, 16 dan 17 Mac ini pukul 7 malam di TV9.

Tahun lalu, bakat lakonan bintang Idola Kecil cuba diterjemah menerusi siri dua episod, Idola Kecil Cinderella Story yang berjaya menarik minat hampir sejuta penonton.

Atas keyakinan yang sama, drama bersiri Idola Kecil Misteri Rumah Tua yang menjalani penggambaran selama lebih seminggu di Hulu Pangsung, Hulu Selangor bermula 12 Februari lalu diterbitkan.

Selain juaranya, Dayana, sembilan lagi bintang Idola Kecil 2 yang terlibat ialah Azzam, Arill, Maulud, Ain, Fienaz, Tasha, Nurul, Jiha dan Sam.

Ini salah satu daripada agenda yang disusun oleh TV9 dalam memastikan bakat yang ada pada 10 peserta tersebut tidak disiakan begitu sahaja.

"Disebabkan kanak-kanak boleh menyanyi dan berlakon, maka drama berkonsepkan muzikal ini dilihat bersesuaian dengan mereka.

"Ini salah satu projek istimewa yang direncanakan untuk mereka sempena cuti sekolah akan datang.

"Dan selepas itu, pada April nanti, bakal menyusul pula sebuah lagi drama bersiri yang akan melibatkan mereka dan beberapa peserta Idola Kecil musim pertama," kata Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Rozaina Zainul Abidin pada sidang akhbar baru-baru ini.

Bukan atas tiket mencari keuntungan, jelas Rozaina, perancangan tentang drama bersiri tersebut telah direncanakan sebelum tamat pertandingan Idola Kecil musim kedua itu.

Sebelum ini, tercetus isu yang mendakwa TV9 menggunakan bintang-bintang Idola Kecil untuk meraih keuntungan berikutan kontrak yang disambung secara tiba-tiba.

Tindakan itu didakwa menyukarkan proses mereka menerima tawaran dan kontrak nyanyian.

Menjawab isu ini, Rozaina berkata, tidak timbul isu mengenai kontrak seperti yang diuar-uarkan.

"Sebelum peserta menandatangani perjanjian, kita sudah menjelaskan pelbagai perkara dan semua peserta pertandingan realiti di bawah Media Prima perlu menandatangani perjanjian ini.

"Cuma apa yang menjadi isu ialah pemanjangan kontrak yang pada awalnya daripada 2 Oktober 2009 hingga 4 Julai 2010 untuk menjalani pelbagai aktiviti yang telah ditetapkan oleh TV9 dipanjangkan sehingga Disember 2010.

"Dalam perjanjian tersebut, memang sudah tertulis bahawa mereka tidak boleh terlibat dengan mana-mana aktiviti atau tawaran lain tanpa kebenaran pihak TV9.

"Jelas disini tiada isu tentang mereka diikat. Apatah lagi pemanjangan kontrak tersebut hanya melibatkan lima bintang Idola Kecil 2 iaitu Azzam, Dayana, Fienaz dan Ain," katanya.

Sambungan kontrak kepada lima peserta Idola Kecil 2 itu kata Rozaina, bukan berdasarkan pilih kasih namun, ia mengambil pertimbangan dari segi faktor tempat tinggal dan kemudahan peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan memandangkan mereka masih bersekolah.

Berbalik kepada drama muzikal Idola Kecil Misteri Rumah Tua, turut berlakon ialah Ilya (Senario) yang bakal melakonkan watak bapa tiri kepada Dayana dan Arill.

Manakala seorang lagi pelakon terkenal, Fizz Fairuz bakal melakonkan watak sebagai bapa kepada Azzam.

Kisah bermula apabila Azzam yang baru kematian ibu sentiasa mengalami mimpi ngeri yang penuh misteri di mana dalam mimpi tersebut dia sering bertemu kanak-kanak perempuan berpakaian gaun putih.

Azzam menceritakan mimpi tersebut kepada bapanya dan atas nasihat doktor, bapanya membawa Azzam pulang ke kampung dengan hasrat Azzam akan memperoleh ketenangan dan bebas daripada trauma kehilangan ibu.

Namun, ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, Azzam terlihat sebuah rumah usang yang sering muncul dalam mimpinya dan atas bantuan sesupu-sepupunya, mereka menyiasat misteri tentang rumah usang tersebut.

Apakah yang berlaku ketika mereka menjalankan proses penyiasatan?.

Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan siri menarik ini arahan Zafran Aziz pada 15, 16 dan 17 Mac ini pukul 7 malam di TV9.


MINGGU kelapan Gelanggang Raja Lawak Astro musim keempat yang berlangsung dari Studio 1, Astro, Bukit Jalil, malam Ahad lalu menyaksikan kumpulan Mamu berada di tangga terbawah apabila sekadar memungut 19.8 peratus undian daripada penonton.

Di atas Mamu, Kecik memperoleh 25.6 peratus undian untuk menduduki tangga ketiga manakala Alex di tempat kedua (25.9 peratus) dan Idlan terus selesa mendahului dengan 28.8 peratus undian.

Diberikan dua tugasan iaitu meniru watak artis atau filem dan lawak spontan tanpa suara, meski memungut peratusan terendah, Mamu bagaimanapun terselamat daripada penyingkiran.

Ini bermakna, Mamu memperoleh sekali lagi peluang beraksi di gelanggang minggu kesembilan pada Ahad ini yang bakal menjadi penentu siapa yang layak untuk berentap di pentas akhir nanti.

Bagaimanapun, peluang yang diberikan kepada Mamu itu menimbulkan cakap-cakap di belakang bahawa pihak Astro bertindak campur tangan bagi menyelamatkan Mamu dengan menafikan penyingkiran kumpulan yang dianggotai oleh Wan Azrul Azizan atau Ajo, 24, dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu), 21, itu.

Nampak seperti benar, tetapi di pihak Astro, soal siapa yang perlu diselamatkan, sememangnya tidak wujud dalam kamus penerbitan Raja Lawak.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, pihaknya tidak pernah memikirkan untuk menyelamatkan sesiapa malah semuanya diserahkan kepada penonton yang memiliki 100 peratus peranan dalam mengundi.

"Cuma, di minggu kelapan, mereka diberikan dua tugasan. Ia memberi satu senario berbeza buat semua peserta.

"Sama seperti Raja Lawak terdahulu, kalau ada dua tugasan, minggu itu peserta akan terselamat daripada penyingkiran.

"Kami tidak pernah terfikir untuk menyelamatkan sesiapa. Cuba kita lihat persembahan JD dahulu. Dia hebat tetapi kami tidak ada pun rasa hendak menyelamatkannya. Terserah kepada penonton,'' katanya tatkala menjawab mengenai persoalan penyingkiran oleh media sejurus gelanggang minggu kelapan menutup tirainya, Ahad lalu.

Kata Nizam, sepanjang Raja Lawak musim keempat berlangsung, ini kali kedua pihaknya menutup ruang untuk menyingkirkan peserta.

"Minggu pertama memang tiada penyingkiran kerana ia masih baru buat peserta. Minggu kelapan pula peserta menghadapi tugasan berbeza,'' ujarnya.

Jelas Nizam yang saban minggu komited menyaksikan Gelanggang Raja Lawak, untuk aksi di pentas akhir hanya tiga tempat disediakan kepada mereka yang layak di mata penonton.

Katanya, untuk itu selain Mamu, antara Idlan atau nama sebenarnya Khairul Idlan Abdul Razak, 21; Alex (Alexander Ahat), 28; dan Kecik yang dianggotai Mohd. Ilham Rusdy (Achoe), 19, serta Safuan Madeaming (Wan), 20, pasti ada yang akan tersingkir di minggu kesembilan, Ahad ini.

"Tidak ada undi masuk untuk Raja Lawak. Ia (undi masuk) tidak termaktub dalam format program tersebut," tegasnya sambil mengharapkan penonton memilih peserta yang benar-benar layak ke pusingan akhir nanti.

Ditanya mengenai tugasan di minggu kesembilan, Nizam menjelaskan, setiap peserta akan diberikan dua tugasan dengan tugasan pertama akan dimaklumkan lebih awal.

Hanya tugasan kedua, katanya, akan diketahui setiap peserta pada Ahad iaitu hari berlangsungnya gelanggang di minggu kesembilan.

Mamu mahu beraksi di pentas akhir

Sementara itu, Ajo yang mewakili Mamu berkata, berada di kedudukan tercorot dia mengharapkan agar Mamu diberi ruang untuk beraksi di final.

Mengenai undian sehingga membuatkan Mamu hampir tersingkir di minggu kelapan pula, Ajo dapat merasakan pengundi seperti sudah mengetahui terlebih awal mengenai tiada penyingkiran dilakukan di minggu berkenaan.

"Atas sebab itulah mungkin mereka tidak mengundi Mamu kerana beranggapan tiada penyingkiran.

"Persaingan sememangnya bertambah kuat. Masing-masing ada konsep tersendiri,'' kata Ajo yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Seni Halus (Lakonan & Pengarahan).

Ketika diajukan persoalan mengenai peluang ke final pula, Abu yang masih menuntut di USM dalam jurusan yang sama mencelah, peluang tersebut boleh dinisbahkan sebagai 50:50.

Sungguhpun begitu, ujar anak jati Pulau Pinang ini, dia mengharapkan agar semua empat peserta akan diberikan peluang memasuki final nanti.

Mamu tidak suka berkawan?

Berbalik kepada Ajo, saat diketengahkan isu dan kenyataan Mamu yang dikatakan tidak suka berkawan dan hanya mahu menumpukan perhatian pada persembahan dan bergelar juara, bekas guru sandaran ini berkata, ia bukanlah karakter sebenar Mamu.

Sebaliknya, ujar Ajo, ia sekadar satu drama yang dicipta untuk mengisi slot Ceritera Raja Lawak.

"Kami dengan kawan-kawan yang lain sangat baik. Kami ada terbaca kritikan mengenai isu tersebut di sebuah akhbar.

"Walaupun saya tidak terguris dengan berita itu tetapi takut juga dengan persepsi orang lain kerana ia hanyalah sebuah drama,'' katanya.

Dalam pada itu, memberi respons terhadap kelibat Mamu nanti selepas keluar daripada Raja Lawak, Ajo memberitahu, mereka akan tetap kekal bersama.

"Kalau ada tawaran yang memaksa kami berasingan, tidak menjadi masalah. Tetapi, saya dan Abu akan bersama mengharungi dunia seni.

"Kami mahu dikenali sebagai insan seni dan bukan mengejar glamor semata,'' tambahnya.

Katering bergerak Pizza Hut



RESTORAN bergerak Pizza Hut akan berkunjung ke destinasi tertentu seperti di acara karnival, hari keluarga dan lokasi yang tiada cawangan restoran itu.

PENGGEMAR piza kini boleh mendapatkan hidangan kegemaran mereka dengan lebih mudah apabila rangkaian makanan segera Pizza Hut melancarkan restoran bergerak Hot On Wheels.

Hot On Wheels dijangka mampu memenuhi permintaan penggemar piza yang semakin meningkat dalam segmen pelbagai acara khas dan majlis luar telah dipertontonkan kepada orang ramai di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pemegang hak francais Pizza Hut dan Pengerusi QSR Brands Bhd., Tan Sri Datuk Muhammad Ali Hashim berkata, Hot On Wheels mampu membuat dan menghantar piza serta hidangan lain untuk acara-acara karnival, hari keluarga dan majlis-majlis luar di seluruh negara.

"Inovasi kreatif ini turut memberi tumpuan di kawasan yang tidak mempunyai cawangan restoran Pizza Hut.

"Kami memiliki pelbagai kelebihan dan sentiasa berusaha untuk mengembangkan dan mendapat pasaran baru. Dengan adanya Hot On Wheels ini kami telah menempa sejarah menerokai sumber pasaran baru iaitu perkhidmatan katering," katanya.

Beliau menambah, perkhidmatan katering adalah pasaran yang masih belum diterokai sepenuhnya dan mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Katanya, Pizza Hut telah membuat pelaburan besar dalam segmen pasaran ini dengan setiap unit konsep Hot On Wheels membabitkan kos sebanyak RM650,000.

Konsep Hot On Wheels merupakan yang pertama di Asia dan ia akan dikendalikan oleh empat pekerja terdiri daripada seorang pemandu, seorang penyelia dan dua orang pembantu dalam melancarkan lagi perkhidmatan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, setiap restoran bergerak yang berukuran 9.14 meter panjang dan 2.6 meter lebar itu mampu menyediakan sehingga 100 keping piza dalam tempoh satu jam sahaja.

"Pada masa ini Pizza Hut memilki dua unit restoran bergerak dan mempunyai perancangan untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan terbaru ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami juga telah melaksanakan usaha ujian pemasaran secara meluas pada tahun lalu dengan menggunakan restoran bergerak pertama kami," katanya.

Antara acara terbaru yang melibatkan operasi restoran bergerak tersebut termasuk Malaysia MotoGP2009, Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang, Johor dan banyak lagi.

Tuesday, February 23, 2010

SEDAPKAN

SAUSAGE ROLL

Rela dianggap gila,merapu


DARIPADA raut wajahnya yang agak serius ditambah pula dengan bertubuh sasa, tiada banyak perkara yang boleh mencetuskan gelak ketawa apabila melihat karakter selebriti di stesen penyiaran Astro ini.

Senang dikenali dengan panggilan komersial, Din Beramboi, personaliti ini sudah lebih sedekad menceburi gelanggang lawak jenaka tanah air.

Memilih kerjaya sebagai pelawak bukan sesuatu yang menyenangkan kerana hakikatnya, tidak semua jenaka yang dipertontonkan disenangi ramai.

Barangkali, sesetengah daripada kita memilih untuk ketawa dengan seloka Din dan mungkin juga separuh daripada kita hati kecil, tidak terhibur, jauh sekali untuk ketawa.

Itulah asam garam yang harus dilalui oleh lelaki seperti Din.

Dari pandangan mata kasar kita, tentunya ramai yang beranggapan Din menempa populariti dengan cara yang mudah.

Sudah 14 tahun dalam bidang ini, tentunya semua keinginan datang bergolek.

Tetapi hakikatnya selebriti berusia 44 tahun ini pernah melalui episod memeritkan ketika di awal penglibatannya.

Pernah dilabel sebagai orang gila atau sasau dek namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berlawak.

Mujur, Din atau nama sebenarnya, Mior Ahmad Mior Badri memiliki semangat dan iltizam tinggi.

Kritikan dan kadang-kadang menjadi celaan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan bakat dan kreativitinya dalam dunia lawak jenaka.

Ketika diri dicela dan dinista dengan tuduhan ekstrem seperti gila dan merapu oleh sesetengah pihak, Din meneruskan langkahnya tanpa sebarang tekanan.

Dia bukan sahaja tidak kisah dilabelkan sebegitu, malah dengan idea merapu itulah dia membina identitinya dan kini semakin diterima oleh para peminat lawak jenaka di negara ini.

"Saya tidak kisah apa orang hendak kata. Memang ada yang kata lawak saya merapu, saya macam orang gila dan macam-macam lagi. Lantak dia oranglah," tenang dia menjawab soalan yang dikemukakan pada awal pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Pandangan serong yang diterima 14 tahun lalu menjadi semangat, pengalaman dan ilmu yang berguna untuk dia berada di kedudukan hari ini.

Din hari ini semakin diterima ramai. Bahkan, dia sangat bangga jika ada yang berpendapat dia memonopoli genre lawak merapu berbanding pendekatan pelawak lain.

"Kalau boleh saya mahu jadi pencetus budaya dalam jenis lawak merapu yang saya ketengahkan selama ini.

"Walaupun ada juga yang kata lawak saya macam tidak ada hujung pangkal. Tetapi apa yang penting para penonton boleh ketawa dengan persembahan saya," jawabnya penuh yakin.

Sebetulnya, berbual dengan Din, anda tidak dapat tidak daripada melabelkannya sebagai seorang yang 'merapu'.

Gambaran 'merapu' jelas diterjemahkan oleh bapa kepada tiga anak ini menerusi pelbagai watak yang dipersembahkan olehnya seperti karakter orang gila.

Begitu juga dengan kecenderungannya meniru gaya dan karakter individu-individu lain daripada pelbagai kaum.

Contohnya, watak Jason Tan iaitu seorang lelaki Cina yang mengusahakan agensi pengiklanan yang sarat dengan idea-idea merapu hasil lontaran dialog yang ada ketikanya tidak masuk akal.

Namun itu yang menawarkan rezeki buat Din. Mana tidaknya, dia kini menjadi pilihan stesen televisyen berbayar, Astro untuk berkongsi idea-idea spontan dengan peminat dan penonton.

"Saya rasa kini saya boleh berbangga dengan konsep lawak jenaka yang saya ketengahkan. Esok atau lusa kalau saya sudah meninggal dunia, mungkin orang akan ingat dengan konsep lawak yang sebegini.

"Dulu para peminat mungkin sukar menerima gaya lawak merapu tetapi sekarang ini orang seakan-akan sudah hilang punca.

"Para peminat sekarang sudah boleh berfikir tentang apa yang ada di sebalik lawak jenaka saya.

"Walaupun nampak merapu tetapi itu tidak bermakna lawak saya tidak bermaklumat. Pada dasarnya mungkin lawak saya kedengaran tidak masuk akal tetapi kalau dikaji semula mungkin ia ada betulnya," tegas Din mempertahankan prinsipnya dalam berkarya.

Peningkatan populariti dan penerimaan para peminat selebriti dengan jambul berwarna perang itu dapat dilihat menerusi rancangan-rancangan kendaliannya yang semakin bertambah sama ada melalui radio dan televisyen.

Selain menjadi penyampai bersama Aznil Nawawi di radio Era, mulai 23 Februari ini Din juga akan mengendalikan rancangan TV berjudul Wuhai Beramboi melalui saluran Warna (saluran 132, Astro) setiap Selasa pukul 9.30 malam.

Di sebalik lawak-lawak jenakanya yang seperti bodoh-bodoh alang, ramai yang mungkin tidak mengenali karakter sebenar selebriti ini terutamanya sewaktu berada di luar bidang-bidang yang diceburinya itu.

"Sebenarnya saya ini seorang yang berjiwa serius. Jiwa saya penuh dengan protes dalam pelbagai isu termasuklah politik, agama dan sosial yang saya cuba ketengahkan. Saya gunakan gaya merapu sewaktu menyampaikan isu-isu.

"Bagi orang yang berfikir dan dapat menangkap apa yang tersirat di sebalik lawak-lawak jenaka saya, maka mereka akan faham tentang kritikan sosial yang ingin saya sampaikan dalam persembahan-persembahan saya.

"Saya memprotes dengan cara yang positif dan santai. Bak kata orang sambil ketawa pun orang boleh berfikir. Namun, pada masa sama saya juga sentiasa akan menjaga sensitiviti yang melibatkan bangsa dan agama," ujar Din.

Pengkritik tetap dalam pertandingan Raja Lawak musim keempat itu juga sama sentiasa mengambil kira pandangan pihak-pihak tertentu termasuklah media berhubung lawak jenakanya.

Ia termasuk gaya lawak dan lontaran dialog yang adakalanya dikatakan melampaui batas dengan penggunaan kata-kata kesat seperti anjing dan bodoh sewaktu berlawak ataupun mengkritik peserta program terbitan Astro Prima tersebut.

Dalam isu itu, Din mengakui, keterlanjuran komennya itu bukan disengajakan.

Sebaliknya, perkara itu berlaku secara spontan dan dia menjadikan insiden itu sebagai teladan agar perkara yang sama tidak berulang pada masa depan.

"Saya sedikit pun tidak marah ataupun kecil hati apabila ada penonton atau wartawan yang menegur keceluparan saya. Bagi saya, itu tandanya mereka tonton rancangan saya dan mereka prihatin terhadap saya.

"Itu juga menunjukkan bahawa mereka mahukan saya supaya menjadi lebih baik dan bagus daripada sebelumnya. Daripada situ jugalah saya dapat mempelajari kesilapan saya. Saya berjanji akan lebih peka dan berhati-hati selepas ini," ikrar Din bersungguh-sungguh.

Selain mencipta nama sebagai penyampai radio dan pengacara TV, beliau yang mula terbabit dalam bidang lawak jenaka sejak tahun 1996 bakal menceburi bidang baru iaitu sebagai pelakon dalam waktu terdekat ini.

Din kini sedang membuat persiapan bagi membintangi filem komedi arahan Afdlin Shauki berjudul Ah Long Bukit Beruntung dengan diberi peluang melakonkan watak hero dalam filem tersebut.

"Sebelum ini saya memang ada berlakon dalam sitkom, drama dan telemovie tetapi hanya diberikan watak-watak sampingan sahaja. Kalau jadi filem itu, ia merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai heronya.

"Saya mungkin akan ambil cuti selama sebulan sewaktu penggambarannya bagi memberi sepenuh tumpuan kepada filem itu nanti. Sebelum ini saya sudah lama hendak berlakon filem tetapi masa tidak mengizinkan," kata Din menyuarakan hasrat hatinya.

Ketika ini juga, ramai yang sibuk bertanya pada Din apakah rancangan masa depannya.

Bagi tuan punya badan, Din sukar untuk meramal apa yang akan jadi padanya.

Untuk itu, Din lebih selesa menyerahkan segala-galanya kepada masa dan keadaan serta ketentuan Allah sama ada pembabitannya dalam bidang pengacaraan, lawak jenaka dan lakonan dapat diterima khalayak.

"Saya akan teruskan karier saya ini selagi ada umur dan kesihatan yang baik. Ini kerana, urusan esok, lusa dan hari hari seterusnya adalah perkara-perkara ghaib yang hanya Allah sahaja yang tahu," kata Din menutup perbualan.


MADRID -- Cristiano Ronaldo membuktikan dia bukan sahaja mampu meledakkan gol, malah turut membantu mencipta peluang kepada rakan sepasukannya ketika Real Madrid membelasah Villarreal 6-2 pada aksi La Liga, kelmarin.

Pemain termahal dunia itu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang menjadi kegemarannya untuk menewaskan penjaga gol, Diego Lopez.

Kemenangan itu juga membolehkan Real merapatkan kedudukan kepada dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Pada penghujung perlawanan, Ronaldo berjaya mendapatkan sepakan penalti, namun memberi laluan kepada rakan sepasukan, Xabi Alonso untuk menyempurnakannya meskipun dia boleh melangsaikan tanggungjawab tersebut.

''Saya telah memberikan bola kepada Xabi kerana semua pemain perlu diberi peluang untuk menyumbangkan gol.

''Pasukan ini bermain dengan baik dan tidak perlu risau apa yang berlaku di Lyon. Kami sentiasa bersama sama ada menang atau pun kalah,'' kata Ronaldo kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kekalahan 0-1 Real kepada Lyon pada perlawanan peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara, minggu lepas.

Sebelum ini, penyerang Portugal itu telah dituduh mementingkan diri sendiri dan Disember lalu, Ronaldo turut dikritik setelah sepakan yang dilakukannya tersasar ketika menentang Almeria.

Ronaldo turut dilayangkan kad merah pada pertemuan tersebut dan dia sekali lagi diarah keluar padang ketika menentang Malaga bulan lalu yang menyebabkan dia digantung dua perlawanan.

Media tempatan melaporkan Real Madrid bimbang kelakuan pemain itu akan menjejaskan moral dan juga peluang pasukan, namun, pemain berusia 25 tahun itu tidak pula mempamerkan sikap sedemikian pada perlawanan, kelmarin.

Malah, dia telah memainkan peranan dengan membuka jaringan perlawanan serta tanpa mengenal penat Ronaldo juga berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Villarreal.

Tidak cukup dengan itu, Ronaldo turut membantu Gonzalo Higuain menjaringkan dua gol dan satu lagi peluang jaringan untuk Kaka sebelum mendapatkan penalti pada akhir permainan.

Dalam usaha jurulatih Real, Manuel Pellegrini memupuk semangat berpasukan berbanding sikap individualistik, dia enggan menghamburkan sebarang pujian kepada pemain tersebut.

''Pasukan ini bukan sahaja mempamerkan mutu permainan yang berkualiti tinggi ketika menyerang, tetapi, juga di bahagian pertahanan.

''Saya berpuas hati dengan tahap pencapaian yang ditunjukkan oleh para pemain,'' kata Pallegrin kepada pemberita. - Reuters

Monday, February 22, 2010

RECYCLING

Reduce, reuse, recycle,
Never let the maid throw things away,
Be it glass or old bicycles,
Can be made into new things one day.

Brown is for glass,
Broken bulbs, bottles and plates.
Into the brown bin is a must,
To be recycled at a later date.

Blue is solely meant for paper.
The ones that we don't need anymore.
Magazines, books and newspaper,
Piles of them that we have in the store.

The orange coloured bin,
Is for steel and aluminium,
Also metals like iron and tin