BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, February 23, 2010


MADRID -- Cristiano Ronaldo membuktikan dia bukan sahaja mampu meledakkan gol, malah turut membantu mencipta peluang kepada rakan sepasukannya ketika Real Madrid membelasah Villarreal 6-2 pada aksi La Liga, kelmarin.

Pemain termahal dunia itu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang menjadi kegemarannya untuk menewaskan penjaga gol, Diego Lopez.

Kemenangan itu juga membolehkan Real merapatkan kedudukan kepada dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Pada penghujung perlawanan, Ronaldo berjaya mendapatkan sepakan penalti, namun memberi laluan kepada rakan sepasukan, Xabi Alonso untuk menyempurnakannya meskipun dia boleh melangsaikan tanggungjawab tersebut.

''Saya telah memberikan bola kepada Xabi kerana semua pemain perlu diberi peluang untuk menyumbangkan gol.

''Pasukan ini bermain dengan baik dan tidak perlu risau apa yang berlaku di Lyon. Kami sentiasa bersama sama ada menang atau pun kalah,'' kata Ronaldo kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kekalahan 0-1 Real kepada Lyon pada perlawanan peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara, minggu lepas.

Sebelum ini, penyerang Portugal itu telah dituduh mementingkan diri sendiri dan Disember lalu, Ronaldo turut dikritik setelah sepakan yang dilakukannya tersasar ketika menentang Almeria.

Ronaldo turut dilayangkan kad merah pada pertemuan tersebut dan dia sekali lagi diarah keluar padang ketika menentang Malaga bulan lalu yang menyebabkan dia digantung dua perlawanan.

Media tempatan melaporkan Real Madrid bimbang kelakuan pemain itu akan menjejaskan moral dan juga peluang pasukan, namun, pemain berusia 25 tahun itu tidak pula mempamerkan sikap sedemikian pada perlawanan, kelmarin.

Malah, dia telah memainkan peranan dengan membuka jaringan perlawanan serta tanpa mengenal penat Ronaldo juga berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Villarreal.

Tidak cukup dengan itu, Ronaldo turut membantu Gonzalo Higuain menjaringkan dua gol dan satu lagi peluang jaringan untuk Kaka sebelum mendapatkan penalti pada akhir permainan.

Dalam usaha jurulatih Real, Manuel Pellegrini memupuk semangat berpasukan berbanding sikap individualistik, dia enggan menghamburkan sebarang pujian kepada pemain tersebut.

''Pasukan ini bukan sahaja mempamerkan mutu permainan yang berkualiti tinggi ketika menyerang, tetapi, juga di bahagian pertahanan.

''Saya berpuas hati dengan tahap pencapaian yang ditunjukkan oleh para pemain,'' kata Pallegrin kepada pemberita. - Reuters

0 comments: