BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, February 24, 2010


MINGGU kelapan Gelanggang Raja Lawak Astro musim keempat yang berlangsung dari Studio 1, Astro, Bukit Jalil, malam Ahad lalu menyaksikan kumpulan Mamu berada di tangga terbawah apabila sekadar memungut 19.8 peratus undian daripada penonton.

Di atas Mamu, Kecik memperoleh 25.6 peratus undian untuk menduduki tangga ketiga manakala Alex di tempat kedua (25.9 peratus) dan Idlan terus selesa mendahului dengan 28.8 peratus undian.

Diberikan dua tugasan iaitu meniru watak artis atau filem dan lawak spontan tanpa suara, meski memungut peratusan terendah, Mamu bagaimanapun terselamat daripada penyingkiran.

Ini bermakna, Mamu memperoleh sekali lagi peluang beraksi di gelanggang minggu kesembilan pada Ahad ini yang bakal menjadi penentu siapa yang layak untuk berentap di pentas akhir nanti.

Bagaimanapun, peluang yang diberikan kepada Mamu itu menimbulkan cakap-cakap di belakang bahawa pihak Astro bertindak campur tangan bagi menyelamatkan Mamu dengan menafikan penyingkiran kumpulan yang dianggotai oleh Wan Azrul Azizan atau Ajo, 24, dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu), 21, itu.

Nampak seperti benar, tetapi di pihak Astro, soal siapa yang perlu diselamatkan, sememangnya tidak wujud dalam kamus penerbitan Raja Lawak.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, pihaknya tidak pernah memikirkan untuk menyelamatkan sesiapa malah semuanya diserahkan kepada penonton yang memiliki 100 peratus peranan dalam mengundi.

"Cuma, di minggu kelapan, mereka diberikan dua tugasan. Ia memberi satu senario berbeza buat semua peserta.

"Sama seperti Raja Lawak terdahulu, kalau ada dua tugasan, minggu itu peserta akan terselamat daripada penyingkiran.

"Kami tidak pernah terfikir untuk menyelamatkan sesiapa. Cuba kita lihat persembahan JD dahulu. Dia hebat tetapi kami tidak ada pun rasa hendak menyelamatkannya. Terserah kepada penonton,'' katanya tatkala menjawab mengenai persoalan penyingkiran oleh media sejurus gelanggang minggu kelapan menutup tirainya, Ahad lalu.

Kata Nizam, sepanjang Raja Lawak musim keempat berlangsung, ini kali kedua pihaknya menutup ruang untuk menyingkirkan peserta.

"Minggu pertama memang tiada penyingkiran kerana ia masih baru buat peserta. Minggu kelapan pula peserta menghadapi tugasan berbeza,'' ujarnya.

Jelas Nizam yang saban minggu komited menyaksikan Gelanggang Raja Lawak, untuk aksi di pentas akhir hanya tiga tempat disediakan kepada mereka yang layak di mata penonton.

Katanya, untuk itu selain Mamu, antara Idlan atau nama sebenarnya Khairul Idlan Abdul Razak, 21; Alex (Alexander Ahat), 28; dan Kecik yang dianggotai Mohd. Ilham Rusdy (Achoe), 19, serta Safuan Madeaming (Wan), 20, pasti ada yang akan tersingkir di minggu kesembilan, Ahad ini.

"Tidak ada undi masuk untuk Raja Lawak. Ia (undi masuk) tidak termaktub dalam format program tersebut," tegasnya sambil mengharapkan penonton memilih peserta yang benar-benar layak ke pusingan akhir nanti.

Ditanya mengenai tugasan di minggu kesembilan, Nizam menjelaskan, setiap peserta akan diberikan dua tugasan dengan tugasan pertama akan dimaklumkan lebih awal.

Hanya tugasan kedua, katanya, akan diketahui setiap peserta pada Ahad iaitu hari berlangsungnya gelanggang di minggu kesembilan.

Mamu mahu beraksi di pentas akhir

Sementara itu, Ajo yang mewakili Mamu berkata, berada di kedudukan tercorot dia mengharapkan agar Mamu diberi ruang untuk beraksi di final.

Mengenai undian sehingga membuatkan Mamu hampir tersingkir di minggu kelapan pula, Ajo dapat merasakan pengundi seperti sudah mengetahui terlebih awal mengenai tiada penyingkiran dilakukan di minggu berkenaan.

"Atas sebab itulah mungkin mereka tidak mengundi Mamu kerana beranggapan tiada penyingkiran.

"Persaingan sememangnya bertambah kuat. Masing-masing ada konsep tersendiri,'' kata Ajo yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Seni Halus (Lakonan & Pengarahan).

Ketika diajukan persoalan mengenai peluang ke final pula, Abu yang masih menuntut di USM dalam jurusan yang sama mencelah, peluang tersebut boleh dinisbahkan sebagai 50:50.

Sungguhpun begitu, ujar anak jati Pulau Pinang ini, dia mengharapkan agar semua empat peserta akan diberikan peluang memasuki final nanti.

Mamu tidak suka berkawan?

Berbalik kepada Ajo, saat diketengahkan isu dan kenyataan Mamu yang dikatakan tidak suka berkawan dan hanya mahu menumpukan perhatian pada persembahan dan bergelar juara, bekas guru sandaran ini berkata, ia bukanlah karakter sebenar Mamu.

Sebaliknya, ujar Ajo, ia sekadar satu drama yang dicipta untuk mengisi slot Ceritera Raja Lawak.

"Kami dengan kawan-kawan yang lain sangat baik. Kami ada terbaca kritikan mengenai isu tersebut di sebuah akhbar.

"Walaupun saya tidak terguris dengan berita itu tetapi takut juga dengan persepsi orang lain kerana ia hanyalah sebuah drama,'' katanya.

Dalam pada itu, memberi respons terhadap kelibat Mamu nanti selepas keluar daripada Raja Lawak, Ajo memberitahu, mereka akan tetap kekal bersama.

"Kalau ada tawaran yang memaksa kami berasingan, tidak menjadi masalah. Tetapi, saya dan Abu akan bersama mengharungi dunia seni.

"Kami mahu dikenali sebagai insan seni dan bukan mengejar glamor semata,'' tambahnya.

0 comments: